Pages

Subscribe:

Labels


Monday, November 7, 2011

PERMOHONAN SEBUAH JAMBATAN BARU ( Surat Kiriman Rasmi )

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung,
Kampung Kelubi,
Parit Panjang,
73624 Muar,
Johor.

___________________________________________
Pegawai Daerah Muar,
Pejabat Daerah Muar,
Johor Darul Takzim.
Tuan,
PERMOHONAN SEBUAH JAMBATAN BARU YANG MENGHUBUNGKAN KAMPUNG KELUBI DENGAN PARIT PANJANG
Dengan segala hormatnya, saya selaku Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kelubi, Parit Panjang ingin memaklumkan kepada pihak tuan bahawa jambatan yang menghubungi Kampung Kelubi dengan bandar Parit Panjang telah runtuh disebabkan oleh banjir besar yang melanda daerah ini dua minggu lalu.
2. Untuk makluman tuan, penduduk Kampung Kelubi dan beberapa buah kampung lain yang terletak di seberang sini kini menghadapi masalah untuk ke pekan Parit Panjang kerana sebuah jambatan kayu yang menghubungi kampung-kampung di seberang sini dengan Pekan Parit Panjang telah roboh. Jambatan itu roboh baru-baru ini akibat banjir besar yang melanda daerah ini. Jadi, kini penduduk di sini menghadapi kesulitan untuk ke seberang, terutamanya penduduk yang terpaksa ke pekan Parit Panjang pada setiap hari untuk urusan mereka. Oleh itu, saya merayu agar sebuah jambatan konkrit perlu dibina di tapak jambatan yang telah runtuh itu untuk kemudahan penduduk di sini.
3. Keruntuhan jambatan ini telah menyebabkan kesusahan kepada pelajar sekolah terutamanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Parit Panjang dan juga di Sekolah Menengah Parit Panjang. Hal ini menyebabkan pelajar menghadapi kesulitan sewaktu hendak ke sekolah. Kebanyakan pelajar tidak dapat pergi ke sekolah kerana jambatan tersebut merupakan satusatunya jalan perhubungan untuk mereka sampai ke sekolah. Jika jambatan ini tidak dibina semula secepat mungkin maka kerumitan ini akan berlarutan dan menjejaskan prestasi pelajar kampung ini dalam bidang pelajaran.
4. Selama ini, jambatan yang telah runtuh itu menjadi penghubung antara Kampung Kelubi dengan bandar Parit Panjang. Jadi, dengan keruntuhan jambatan tersebut, hal ini telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada seluruh penduduk Kampung Kelubi. Para penduduk sukar keluar ke pekan Parit Panjang untuk membeli-belah, berurusan dengan pejabat kerajaan dan berniaga. Keruntuhan jambatan itu juga membawa kesukaran kepada penduduk kampung berhampiran untuk ke pekan Parit Panjang.
5. Jika ditinjau dari sudut ekonomi, keruntuhan jambatan itu juga menimbulkan kesusahan kepada penduduk kampung kami. Kebanyakan penduduk Kampung Kelubi yang bekerja sebagai petani menghadapi masalah membawa keluar hasil tanaman untuk dipasarkan di bandar Parit Panjang dan pekan-pekan lain yang berdekatan. Selain itu, terdapat juga sebilangan penduduk kampung ini yang bekerja di bandar Parit Panjang dan di pekan sekitarnya, sama ada di sektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri. Jadi, mereka juga menghadapi masalah untuk ke tempat kerja masing-masing disebabkan jambatan yang sering digunakan oleh mereka itu sudah runtuh.
6. Dengan itu, kami tidak menafikan bahawa jambatan yang telah runtuh itu merupakan jalan perhubungan yang begitu penting bagi penduduk Kampung Kelubi. Walaupun terdapat beberapa orang penduduk kampung ini yang menggunakan perahu untuk menyeberangi sungai, malah ada yang mengambil upah untuk membawa penduduk yang hendak menyeberangi sungai, tetapi keadaan ini boleh membahayakan keselamatan mereka kerana arus sungai yang deras. Oleh itu, sebelum sesuatu tragedi berlaku maka lebih baik jika kerajaan mengambil tindakan segera untuk membina jambatan konkrit bagi menggantikan jambatan kayu yang telah runtuh.
Akhirnya, saya berharap semoga perkara yang saya nyatakan di atas mendapat perhatian daripada pihak tuan dan masalah ini dapat diatasi dengan segera demi kepentingan penduduk Kampung Kelubi dan kampung-kampung sekitarnya yang memerlukan sebuah jambatan untuk kegunaan harian jika hendak ke seberang.
Sekian. Terima kasih.
Yang berharap,
Wan Khodri
(WAN KHODRI B. WAN HASBULLAH)
Setiausaha,
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung,




--

0 comments:

Post a Comment