Pages

Subscribe:

Labels

Monday, November 7, 2011

Kebaikan Sektor Pelancongan ( Soalan Target SPM 2011 )

Huraikan kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita.
Negara Malaysia sememangnya tersohor dalam kalangan pelancong asing kerana Malaysia kaya dengan tempat-tempat menarik dan indah serta mampu memukau warga asing yang melancong di Negara kita. Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian kepada industri pelancongan. Persoalannya, apakah kebaikan yang diperoleh Negara dalam usaha mempromosikan negara yang kita cintai ini, iaitu Malaysia?

Satu daripada kebaikan sektor pelancongan negara ialah kita dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia. Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang dan Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut.

Seterusnya, sektor pelancongan juga dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang masuk ke negara kita. Sebagai contohnya, pelancong pasti membeli-belah barangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain-lain sebagai
 buah tanganatau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Secara tidak langsung, industri kraf tangan di negara kita akan berkembang maju sekali gus akan menambahkan pendapatan negara.

Di samping itu, sektor pelancongan juga dapat memajukan industri perhotelan. Pusat-pusat penginapan yang giat dibina
 bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti pulau, tepi pantai dapat menarik warga asing untuk menginap justeru industri perhotelan akan berkembang maju. Bukan itu sahaja, banyak kawasan yang dahulunya merupakan kawasan pedalaman akan menjadi sebuah kawasan baharu yang akan menjadi tumpuan pengunjung.

Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang
 tak lapuk oleh hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Secara tidak langsung, industri pelancongan di negara kita semakin mendapat perhatian daripada penduduk dunia.

Sebagai intiha, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan yang besar dari segi ekonomi kepada negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama
 bagai aur dengan tebing untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia kerana tak kenal maka tak cinta.



--

0 comments:

Post a Comment