Pages

Subscribe:

Labels

Showing posts with label C-KRGN. Show all posts
Showing posts with label C-KRGN. Show all posts

Monday, November 7, 2011

Kebaikan Sektor Pelancongan ( Soalan Target SPM 2011 )

Huraikan kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita.
Negara Malaysia sememangnya tersohor dalam kalangan pelancong asing kerana Malaysia kaya dengan tempat-tempat menarik dan indah serta mampu memukau warga asing yang melancong di Negara kita. Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian kepada industri pelancongan. Persoalannya, apakah kebaikan yang diperoleh Negara dalam usaha mempromosikan negara yang kita cintai ini, iaitu Malaysia?

Satu daripada kebaikan sektor pelancongan negara ialah kita dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia. Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang dan Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut.

Seterusnya, sektor pelancongan juga dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang masuk ke negara kita. Sebagai contohnya, pelancong pasti membeli-belah barangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain-lain sebagai
 buah tanganatau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Secara tidak langsung, industri kraf tangan di negara kita akan berkembang maju sekali gus akan menambahkan pendapatan negara.

Di samping itu, sektor pelancongan juga dapat memajukan industri perhotelan. Pusat-pusat penginapan yang giat dibina
 bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti pulau, tepi pantai dapat menarik warga asing untuk menginap justeru industri perhotelan akan berkembang maju. Bukan itu sahaja, banyak kawasan yang dahulunya merupakan kawasan pedalaman akan menjadi sebuah kawasan baharu yang akan menjadi tumpuan pengunjung.

Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang
 tak lapuk oleh hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Secara tidak langsung, industri pelancongan di negara kita semakin mendapat perhatian daripada penduduk dunia.

Sebagai intiha, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan yang besar dari segi ekonomi kepada negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama
 bagai aur dengan tebing untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia kerana tak kenal maka tak cinta.



--

Kes Pembuangan Bayi

Kes pembuangan bayi sering menjadi tajuk utama akhbar-akhbar perdana di negara kita. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani kes ini.
  Dewasa ini, masalah sosial dalam kalangan masyarakat semakin menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. (AR) Antaranya termasuklah kes pembuangan bayi yang semakin leluasa di negara kita. (AR) Dalam siaran berita di radio atau di televisyen, berita-berita seperti ini begitu kerap dilaporkan. (AR) Hal ini bukan sahaja menyusahkan banyak pihak malah imej negara kita akan terjejas. (AA) Oleh hal yang demikian, pelbagai langkah harus diambil untuk membendung masalah ini.
(AJ) Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program. (AH) Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah kepada rakyat. (AH) Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. (AH) Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. (AC) Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. (AH) Tegasnya, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.
Selain itu, (AJ) pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempen pada peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. (AH) Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas. (AH) Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. (AH) Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. (AH) Sebagai contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan lain-lain. (AP) Usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landaan yang betul dalam kehidupan.
 Langkah yang seterusnya ialah menyediakan perkhidmatan kaunseling yang perlu diurus oleh pihak kebajikan masyarakat. (AH) Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. (AH) Hal ini disebabkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri. (AC) Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan sebenar. (AP) Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut.
Di samping itu, (AJ) pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. (AC) Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat. (AH) Perogol atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. (AH) Hal ini menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. (AH) Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. (AP) Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut.
Seterusnya, (AJ) pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. (AH) Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. (AH) Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. (AC) Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. (AH) Cara ini adalah amat efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.
Kesimpulannya, (A Ksmpln) pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. (A Pnln) Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan 2020. (A Pndpt) Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung maalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni. (A Pnln)Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dari segi lahiriah dan rohani dapat direalisasikan.



--

Lawatan Sambil Belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka ( Laporan )

Persatuan Bahasa Malaysia di sekolah anda telah mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru –baru ini. Anda sebagai setiausaha persatuan itu dikehandaki menulis satu laporan lengkap tentang lawatan tersebut. Tulis laporan itu.
Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pada cuti penggal kedua yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia, Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Lawatan yang diadakan pada hari Sabtu, 29 April 2009 disertai oleh sebanyak 40 orang ahli persatuan dan dua orang guru penasihat.
Objektif lawatan tersebut adalah untuk mengenali buku-buku bermutu keluaran DBP, mengetahui cara-cara buku diterbitkan, dan untuk menimba pengetahuan selaras dengan konsep lawatan sambil belajar.
Sebelum bertolak, guru penasihat kami mengingatkan para pelajar supaya menjaga disiplin dan nama baik sekolah semasa di sana. Selepas mendengar pesanan beliau, barulah rombongan kami bertolah dari sekolah.
Kami tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka tepat pukul 11.00 pagi. Rombongan kami disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau memberi penerangan tentang sejarah penubuhan DBP dan tujuan penubuhannya. Kami juga diberi taklimat ringkas tentang bahagian-bahagian yang akan kami lawati. Sebelum itu, kami diberi satu naskah majalah Pelita Bahasa keluaran DBP secara percuma.
Tempat pertama yang menjadi destinasi kami adalah ke bahagian pameran. Semasa berada di bahagian ini kami berpeluang melihat berbagai-bagai jenis buku yang dikeluarkan oleh DBP sama ada buku-buku lama atau buku-buku baru. Buku-buku tersebut ditulis dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang merangkumi buku-buku agama, politik, ekonomi, dan bahasa. Kami juga berpeluang mengenali berbagai-bagai jenis majalah seperti majalah Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan lain-lain. Kami juga diberi beberapa maklumat tentang buku-buku dan majalah-majalah tersebut terutamanya apabila timbul beberapa kemusykilan.
Selepas itu, kami dibawa ke bahagian pencetakan. Di sini, kami melihat dengan jelas cara-cara buku dan majalah dicetak. Kami perhatikan buku-buku tersebut dicetak dengan begitu pantas dengan menggunakan alat-alat yang canggih, teknik-teknik yang sistematik, yang diusahakan oleh pekerja-pekerja yang mahir dan cekap. Kami juga dapat melihat dengan jelas cara buku-buku itu dijilid, disusun, dan sebagainya.
Sebelum pulang, kami tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa buah buku bagi kegunaan kami. Hal ini demikian kerana kami diberi potongan harga istimewa oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Kira-kira pukul 3.00 petang, selepas dihidangkan jamuan ringan, kami mula bertolak keluar dari perkarangan DBP. Lawatan tersebut telah menimbulkan banyak faedah kepada kami. Antara faedah-faedahnya ialah kami dapat mengenali buku-buku bermutu keluaran DBP. Buku-buku tersebut didapati telah menjadi bahan rujukan utama sama ada oleh para pelajar, mahasiswa, mahupun orang perseorangan.
 Selain itu, lawatan tersebut dapat menyemai minat dan budaya membaca di kalangan pelajar. Sekurang-kurangnya timbul keinsafan dan kesedaran di hati kami tentang betapa pentingnya membaca untuk menambah pelbagai maklumat dan pengetahuan. Lawatan sambil belajar yang kami anjurkan ini dianggap berkesan kerana kami dapat menimba ilmu dan meluaskan pengetahuan.
Walaupun lawatan seumpama ini pertama kali dianjurkan oleh persatuan kami, namun lawatan ini sangat berhasil. Harapan kami agar lebih banyak pelajar di sekolah ini menyertai lawatan sambil belajar pada masa depan.
Dilaporkan Oleh, 12 Mei 2009.
Farid Asfar
………………………………
(FARID ASFAR B ABD GHANI)
Setiausaha, Persatuan Bahasa Malaysia,
Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.




--

Peranan Pihak Polis Dalam Mencegah Jenayah ( Wawancara )

Andaikan anda seorang pemberita. Anda ditugaskan mewawancara seorang pegawai polis di sebuah bandar di tempat anda bertugas. Wawancara itu membincangkan peranan pihak polis dalam mencegah masalah jenayah. Sediakan wawancara itu dengan lengkap.
Masalah jenayah sering dikaitkan dengan tugas dan peranan polis. Dalam membenteras masalah tersebut, polislah yang bertanggungjawab memastikan setiap individu dan masyarakat terselamat daripada ancaman tersebut. Untuk mengetahui peranan pihak polis ini, saya selaku pemberita ditugaskan mewawancara Penguasa Yusuf Majid, seorang pegawai polis di bandar ini. Kita ikuti wawancara tersebut.
Pemberita :Selamat pagi, tuan. Apa khabar?
Pegawai Polis :Selamat pagi. Khabar baik.
Pemberita:Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada tuan kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara. Pertamanya, polis dan undang-undang sering diibaratkan sebagai aur dengan tebing. Kedua-duanya begitu rapat dan sering berjalan seiring. Apakah pandangan tuan tentang perkara ini?
Pegawai Polis:Ya, pasukan polis merupakan penguat kuasa undang-undang yang tama. Ini bererti tanpa polis, undang-undang yang ada tidak bermakna kerana undang-undang tersebut tidak dapat dikuatkuasakan. Sebaliknya, tentulah sukar untuk pihak polis menjalankan tugas jika sesebuah negara tiada undang-undang. Jika tiada undang-undang yang berkaitan dengan jenayah, tentulah tugas polis untuk membenteras jenayah tidak kesampaian. Jadi polis dan undang-undang mempunyai kaitan yang begitu rapat.
Pemberita:Bolehkah tuan huraikan dengan lebih jelas, bagaimanakah undang-undang boleh digunakan oleh polis untuk memerangi jenayah di negara kita?
Pegawai Polis:Sesuai dengan peranan polis sebagai penguat kuasa, maka undang-undang yang berhubung dengan jenayah menjadi panduan dan sering digunakan oleh pihak polis. Antaranya termasuklah Kanun Keseksaan dan Kanun Atur Cara Jenayah. Antara jenayah yang dikaitkan dengan Kanun Keseksaan adalah mencuri, merompak, merogol, mencederakan orang, penipuan, dan sebagainya. Kanun Atur Cara Jenayah pula telah memberikan kuasa kepada polis untuk menangkap atau seumpamanya terhadap penjenayah yang melakukan jenayah-jenayah tadi.
Pemberita:Cuba tuan jelaskan tentang kewibawaan pasukan polis dalam menangani masalah jenayah.

Pegawai Polis:Kewibawaan dan prestasi pasukan polis sebenarnya bergantung kepada cara mereka melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang. Untuk itu, pihak polis mesti menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama. Jika terdapat sesuatu kesalahan jenayah, pihak polis akan bertindak tanpa mengira pangkat atau kedudukan seseorang. Pihak polis juga mesti berani untuk memerangi jenayah. Oleh sebab itu, kita dapati banyak penjenayah menjadi mangsa keberanian dan kewibawaan pihak polis. Kadang kala anggota polis terpaksa berkorban apa sahaja demi menjaga keamanan negara. Mereka terpaksa mengorbankan masa, cuti, keluarga dan nyawa apabila bertugas.





Pemberita:Tugas sebagai anggota polis tentu menghadapi pelbagai cabaran atau risiko yang membahayakan keselamatan polis itu sendiri. Cuba tuan berikan pandangan?
Pegawai Polis:Ya, sebagai anggota polis, kami memang mengetahui adanya pelbagai implikasi dan risiko di hadapan. Misalnya, jika berlaku kes rompakan, pihak polis mungkin terpaksa berbalas tembakan dengan perompak. Jika bukan perompak, mungkin pihak polis yang menjadi mangsa. Ada kalanya penjenayah ini tidak takut berdepan dengan pihak polis. Oleh sebab itulah mereka berani melawan anggota polis kita. Selain itu, pihak polis juga kadang-kadang menghadapi cabaran masyarakat. Kami sering kali juga menimbulkan rasa takut dan prejudis orang ramai. Oleh sebab itu, kerjasama masyarakat sukar diperoleh untuk mengatasi kes-kes jenayah.
Pemberita:Sebelum kita mengakhiri wawancara ini, apakah harapan tuan terhadap masyarakat atau orang ramai untuk mengatasi masalah jenayah?
Pegawai polis:Kita memerlukan kerjasama orang ramai. Tanpa kerjasama dan komitmen orang ramai tentulah sukar untuk kita membenteras masalah jenayah. Mereka harus melaporkan kepada pihak kami jika berlaku sesuatu kejadian jenayah dan mereka juga tidak harus melindungi seseorang penjenayah. Berilah kerjasama, penghormatan, dan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis demi keselamatan dan keamanan negara.
Pemberita:Saya juga berharap penjelasan tuan akan menjadi renungan kepada masyarakat kita. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan atas kesudian tuan.
Pegawai Polis : Sama-sama.





--

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya ( Rencana )

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya
Oleh : Nik Tik Hajar Aisyah bt Ismail


“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.
Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.
Bak kata pepatah Melayu, “kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang” kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.





Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjad-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan katak-katak rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya aerospace dan superman bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak JPJ semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.
Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika negara Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah.




--

Keburukan Penglibatan Pelajar dalam Industri Hiburan Tanah Air.

Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?

Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.

Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.

Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.

Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.

Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.




--

Penyakit Berjangkit Melanda di Negara Saya ( Surat Rasmi )

Sugintut A/L Kelekathu
No. 4, Jalan Cheras Raya,
Taman Cheras Perdana,
56200 Kuala Lumpur.

26 Julai 2008.

  Kehadapan sahabatku yang sentiasa diingati, Saudara Micheal J. Pundiek, yang kini berada di , India. Saya berharap agar saudara sentiasa berada dalam kandungan sihat walafiat bersama-sama dengan keluarga saudara.

Saudara Micheal,

  Bagaimana keadaan saudara di sana sekarang? Untuk makluman saudara, saya dan keluarga saya di Kuala Lumpur sihat seperti biasa. Pada masa ini, saya agak sibuk dengan pelajaran saya kerana Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal saya duduki semakin hampir. Setiap hari saya terpaksa pulang lewat ke rumah kerana menghadiri kelas tambahan yang diadakan di sekolah saya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Saya percaya mampu untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Walau bagaimanapun saya memohon agar saudara mendoakan saya supaya lulus dengan cemerlang.
Saudara Micheal,

  Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk memberitahu saudara tentang penyakit berjangkit yang sedang melanda negara saya. Penyakit yang saya maksudkan tersebut ialah Selesema Babi atau dikenali juga dengan nama Selesema H1N1. Penyakit ini amat ditakuti oleh orang ramai kerana masih belum ada sebarang vaksin yang ditemui dan mampu mengubatinya. Setakat ini, dalam tempoh sebulan sahaja penyakit tersebut menyerang Malaysia, sudah hampir 200 orang yang telah menjadi mangsa. Namun begitu, sehingga hari ini saya mampu bersyukur kerana belum ada lagi mangsa yang terkorban. Malah negara jiran kami iaitu Singapura dan Thailand turut mencatatkan jumlah mangsa yang lebih besar iaitu melebihi 1000 orang.

  Untuk pengetahuan saudara, Selesema Babi merupakan penyakit yang berasal dari Maxico di Amerika Selatan. Penyakit tersebut merebak ke negara saya melalui pelancong asing yang datang ke Malaysia dari tempat tersebut. Menurut doktor, mangsa yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami simptom seperti demam biasa. Walau bagaimanapun, demam yang dialami akan berpanjangan diikuti dengan sakit kepala serta sakit di seluruh badan yang keterlaluan. Sekiranya mangsa tidak mendapat rawatan yang sewajarnya, penyakit ini boleh membawa maut. Memandangkan penyakit ini mudah merebak, kerajaan di Malaysia telah mengambil langkah drastik bagi mengekang penyakit tersebut daripada terus menular, bak kata pepatah Melayu “sediakan paying sebelum hujan”.

Saudara Micheal,
  Antara langkah awal yang telah dilaksanakan adalah dengan mengkuarantinkan orang ramai yang pulang dari luar negara terutamanya dari negara-negara seperti Maxico, Amerika Syarikat, Australia dan Indonesia. Hal ini disebabkan kebanyakan mangsa yang terdapat di Malaysia ialah mereka yang baru balik dari negara tersebut. Pelancong asing dari negara tersebut juga tidak terkecuali menjalani kuarantin dan pemeriksaan doktor sebelum dibenarkan berada di Malaysia. Semua penumpang yang menaiki kapal terbang juga turut dinasihati supaya menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan bahawa mereka bukan pembawa virus ini. Saya berasa tindakan ini agak berkesan dan sesuai sebagai satu cara untuk mengekang penularan viris H1Ni ke Malaysia kerana “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”.

  Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia juga turut menutup beberapa buah sekolah apabila mendapati ada beberapa orang pelajar di sekolah berkenaan dijangkiti virus berbahaya ini. Di Kuala Lumpur sahaja, empat buah sekolah telah ditutup selama seminggu bagi tujuan tersebut. Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Jalan Delima, Sekolah Antarabangsa Sri Perdana, Sekolah Menengah Tsun Jin dan Sekolah Menengah Seri Mutiara. Semua warga sekolah termasuk para pelajar dan guru-guru di sekolah berkenaan turut dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus tersebut. Walaupun ada sesetengah pihak menentang usaha murni kerajaan itu, namun langkah ini amat berkesan bagi mengelakkan penularan virus H1N1 daripada terus berlaku.

Sahabatku Micheal,
  Selain itu, kerajaan Malaysia juga telah mengadakan kempen kesihatan dan penjagaan kebersihan diri. Kempen ini telah disebarluaskan melalui pelbagai media massa seperti surat khabar dan televisyen. Untuk makluman saudara, kempen ini diadakan dengan tujuan menyedarkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan diri agar terhindar daripada virus tersebut. Orang ramai juga dinasihati agar memakai topeng serta membasuh tangan dengan bersih selepas batuk atau bersin. Mereka juga turut disarankan agar tidak berkunjung ke tempat awam sekiranya tidak ada sebarang sebab yang perlu untuk berbuat demikian. Bagi membantu orang ramai mengatasi kebimbangan mereka terhadap virus ini, kerajaan juga telah membekukan cuti kakitangan hospital malah perkhidmatan hospital awam dilanjutkan selama 24 jam sehari. Dengan cara ini, wabak H1N1 dapat dikekang daripada terus merebak.

Saudara Micheal,
  Memandangkan telah panjang lebar saya menulis dalam warkah saya pada kali ini, saya memohon untuk mengundur diri. Semoga kita dapat bertemu lagi dalam bingkisan yang akan datang. Jangan lupa untuk menyampaikan salam saya kepada keluarga saudara terutamanya kepada adik saudara Micheal J. Kuthupalar. Akhir kata, saya juga memohon kemaafan andainya ada kata-kata saya yang menyinggung hati saudara.

Sekian, terima kasih.

Sahabatmu yang jauh,
SugintutKelekathu.






--

PERMOHONAN SEBUAH JAMBATAN BARU ( Surat Kiriman Rasmi )

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung,
Kampung Kelubi,
Parit Panjang,
73624 Muar,
Johor.

___________________________________________
Pegawai Daerah Muar,
Pejabat Daerah Muar,
Johor Darul Takzim.
Tuan,
PERMOHONAN SEBUAH JAMBATAN BARU YANG MENGHUBUNGKAN KAMPUNG KELUBI DENGAN PARIT PANJANG
Dengan segala hormatnya, saya selaku Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kelubi, Parit Panjang ingin memaklumkan kepada pihak tuan bahawa jambatan yang menghubungi Kampung Kelubi dengan bandar Parit Panjang telah runtuh disebabkan oleh banjir besar yang melanda daerah ini dua minggu lalu.
2. Untuk makluman tuan, penduduk Kampung Kelubi dan beberapa buah kampung lain yang terletak di seberang sini kini menghadapi masalah untuk ke pekan Parit Panjang kerana sebuah jambatan kayu yang menghubungi kampung-kampung di seberang sini dengan Pekan Parit Panjang telah roboh. Jambatan itu roboh baru-baru ini akibat banjir besar yang melanda daerah ini. Jadi, kini penduduk di sini menghadapi kesulitan untuk ke seberang, terutamanya penduduk yang terpaksa ke pekan Parit Panjang pada setiap hari untuk urusan mereka. Oleh itu, saya merayu agar sebuah jambatan konkrit perlu dibina di tapak jambatan yang telah runtuh itu untuk kemudahan penduduk di sini.
3. Keruntuhan jambatan ini telah menyebabkan kesusahan kepada pelajar sekolah terutamanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Parit Panjang dan juga di Sekolah Menengah Parit Panjang. Hal ini menyebabkan pelajar menghadapi kesulitan sewaktu hendak ke sekolah. Kebanyakan pelajar tidak dapat pergi ke sekolah kerana jambatan tersebut merupakan satusatunya jalan perhubungan untuk mereka sampai ke sekolah. Jika jambatan ini tidak dibina semula secepat mungkin maka kerumitan ini akan berlarutan dan menjejaskan prestasi pelajar kampung ini dalam bidang pelajaran.
4. Selama ini, jambatan yang telah runtuh itu menjadi penghubung antara Kampung Kelubi dengan bandar Parit Panjang. Jadi, dengan keruntuhan jambatan tersebut, hal ini telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada seluruh penduduk Kampung Kelubi. Para penduduk sukar keluar ke pekan Parit Panjang untuk membeli-belah, berurusan dengan pejabat kerajaan dan berniaga. Keruntuhan jambatan itu juga membawa kesukaran kepada penduduk kampung berhampiran untuk ke pekan Parit Panjang.
5. Jika ditinjau dari sudut ekonomi, keruntuhan jambatan itu juga menimbulkan kesusahan kepada penduduk kampung kami. Kebanyakan penduduk Kampung Kelubi yang bekerja sebagai petani menghadapi masalah membawa keluar hasil tanaman untuk dipasarkan di bandar Parit Panjang dan pekan-pekan lain yang berdekatan. Selain itu, terdapat juga sebilangan penduduk kampung ini yang bekerja di bandar Parit Panjang dan di pekan sekitarnya, sama ada di sektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri. Jadi, mereka juga menghadapi masalah untuk ke tempat kerja masing-masing disebabkan jambatan yang sering digunakan oleh mereka itu sudah runtuh.
6. Dengan itu, kami tidak menafikan bahawa jambatan yang telah runtuh itu merupakan jalan perhubungan yang begitu penting bagi penduduk Kampung Kelubi. Walaupun terdapat beberapa orang penduduk kampung ini yang menggunakan perahu untuk menyeberangi sungai, malah ada yang mengambil upah untuk membawa penduduk yang hendak menyeberangi sungai, tetapi keadaan ini boleh membahayakan keselamatan mereka kerana arus sungai yang deras. Oleh itu, sebelum sesuatu tragedi berlaku maka lebih baik jika kerajaan mengambil tindakan segera untuk membina jambatan konkrit bagi menggantikan jambatan kayu yang telah runtuh.
Akhirnya, saya berharap semoga perkara yang saya nyatakan di atas mendapat perhatian daripada pihak tuan dan masalah ini dapat diatasi dengan segera demi kepentingan penduduk Kampung Kelubi dan kampung-kampung sekitarnya yang memerlukan sebuah jambatan untuk kegunaan harian jika hendak ke seberang.
Sekian. Terima kasih.
Yang berharap,
Wan Khodri
(WAN KHODRI B. WAN HASBULLAH)
Setiausaha,
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung,




--

Monday, September 5, 2011

Kesan - Kesan Pencemaran Sungai Di Malaysia

Menurut kajian hidrologi, terdapat tiga klasifikasi pencemaran berlaku, iaitu pencemaran fizikal, biologi, dan kimia. Menurut kajian Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2003 terdapat 908 stesen pengawalan mutu air di 117 batang sungai terpilih mendapati bahawa 25 batang sungai daripada 10 buah negerri telah tercemar dangan teruk. Contohnya, negeri Johor mengalami pecemaran sungai paling tinggi, iaitu sebanyak 6 buah sungai. Antaranya, sungai Air Balai, Tukang Batu, dan Sedili Besar. Kemajuan pesat yang telah dikecapi semenjak dua akad ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kebersihan sungai-sungai dan hari demi hari, sungai terus tercemar sama ada secara sengaja atau tidak. Keadaan ini akan menimbulkan pelbagai masalah jika tidak diatasi. Justeru, pelbagai langkah perlu diambil untuk mengelakkan masalh ini daripada menjadi lebih serius.
Kesan utama pencemaran sungai ialah bekalan air bersih negara akan berkurangan. Sungai merupakan punca utama bekalan air. Oleh itu, pencemaran sungai sekali gus akan menyebabkan bekala air tercemar dan tidak selamat untuk digunakan. Sungai yang dicemari oleh bahan kimia toksik tidak akan selamat digunakan dan berbahaya kepada kesihatan manusia. Sungai-sungai yang dicemari dengan sampah sarap dan najis haiwan pula mengandungi kuman dan bakteria berbahaya yang boleh menybabkan penyakit taun. Walaupun air telah dirawat di loji rawatan air tetapi ini tidak akan menjamin bekalan air yang selamat kepada manusia kerana kuman dan bakteria di dalam air tidak dapat dihapuskan kesemuanya. Justeru, bekalan air bersih adalah penting untuk keselesaan dan keselamatab penduduk di negara ini. Malaysia juga akan kehilangan sumber alam semula jadinya yang dapat dibanggakan dan dijadikan tempat rekreasi serta pelancongan. Sungai-sungai yang bersih dan jernih dapat dijadikan sebagai tempat mandi-manda, rekreasi, dan juga sumber pelanciongan kepada penduduk dalam negara dan juga pelancong asing. Oleh itu, kebersihan sungai juga dapat menambahkan pendapatan negara melalui kemasukan pelancong-pelancong asing. Apabila sungai tercemar dan kotor, sungai tidak lagi dapat memberi faedah kepada penduduk dan negara. Malah, keadaan ini juga akan memburukkan imej negara pada pandangan pelancing asing kerana kita mempunyai sungai yany kotor dan menjijikkan.
Pencemaran sungai juga turut mendatangkan babanan jepada kerajaan. Kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja ynag tinggi untuk menjalankan proses rawatan air. Kerajaan juga terpaksa membeli peralatan rawatan air yang lebih canggih untuk menjamin kualiti air. Selain itu, loji-loji rawatan air juga perlu kerap diselenggarakan dan ini akan meningkatkan kos. Kerajaan juga akan mengeluarkan belanja yang tinggi untuk merawat pesakit-pesakit akibat menggunakan air yang tercemar, menanggung kos rawatan yang tinggi kerana pesakit yang ramai dan untuk menghapuskan kuman dan bakteria yang terdapat dalam air.
Masalah pencemaran sungai bukan lagi suatu perkara yang baru di negara kita. Masalah ini sudah wujud sekian lama dahulu. Namun rakyat hanya memandang ringan masalah yang berlaku. Dalam jangka masa pendek, masalah ini mungkin tidak mengganggu kehidupa mereka, tetapi perkara ini pasti menimbulkan huru-hara sekiranya diambil mudah oleh rakyat dalam jangka masa panjang. Justeru, pihak-pihak yang berkenaan perlu mempunyai koordinasi antara satu sama lain untuk mengelakkan masalah ini daripada menjadi lebih serius. Rakyat pula perlu menyokong setiap usaha yang dijalankan oleh kerajaan.

- Disediakan oleh Admin.

Contoh - Contoh Karangan

contoh-contoh karangan bahasa melayu boleh dapat di sini. Kami menyediakan perkhidmatan ini suapaya pelajar-pelajar dapat menikmati kemudahan Internet.

1) Kesan - Kesan Pencemaran Sungai